ALLAH HADIRKAN PENGAJARAN DARI ORANG LAIN

ALLAH HADIRKAN PENGAJARAN DARI ORANG LAIN

Kisah ini diceritakan semula oleh seorang Doktor Mata sebagai pengajaran kita bersama.

Hari ini di Klinik Mata Kanak-kanak, saya mendapat sebuah peringatan dari Allah yang berlaku depan mata saya.

Seorang kanak-kanak berusia 18 bulan didukung ibunya dengan baby carrier. Ketika nama anak itu dipanggil, ibunya perlahan-lahan berjalan ke arah bilik pemeriksaan saya. Saya lihat beliau sedikit tempang pada kaki kanannya. Saya fikir mungkin sejak lahir si ibu itu sudah berjalan berdengkut begitu.

Kelihatan sarat beliau berjalan, sambil mendukung anak, beliau turut membawa sebuah beg sandang dan sebuah beg plastik.

Comel sungguh anaknya itu, tersenyum-senyum semasa saya memeriksanya. Kelopak matanya  sebelah agak rendah (congenital ptosis) tetapi selain itu tiada masalah lain. Anak itu  dahulu dilahirkan pramatang, maka perlu diperiksa setiap tahun bagi memastikan penglihatan matanya normal dan dia tidak rabun.

Semasa memeriksa, agak sukar saya ingin melihat keseluruhan mata anak itu, jadi saya meminta si ibu mengeluarkan anaknya dari dalam carrier.

 

Si ibu menjawab, “Maaf doktor, saya ada satu tangan saja ni. Kalau saya keluarkan dia, nanti susah saya nak masukkan dia semula.”

Mashaa Allah baru saya perasan yang tangan kanan si ibu itu, lemah. Saya bertanya adakah beliau dilahirkan begitu? Jawapannya membuat saya terkedu.

“Saya kena stroke, doktor, semasa saya 30an. Dulu saya kerja, tetapi lepas stroke kontrak saya tidak disambung”

Mashaa Allah. Hatiku bertambah pilu mendengarnya berkata. Dalam kesukaran dan kepayahan, beliau tetap mencuba untuk memberi penjagaan yang terbaik untuk anaknya . Tak dapat saya bayangkan bagaimana beliau memandikan anak, menukar lampin dan sebagainya.

Terfikir betapa teruknya saya yang kadang kala mengeluh keletihan membesarkan anak-anak, sedangkan Allah berikan saya nikmat 2 tangan dan 2 kaki yang sempurna. Alhamdulilah walaupun ada kala gelagat anak-anak membuat saya mengurut dada menahan sabar, Allah berikan anak-anak saya kesihatan yang baik.

Hari ini saya mendapat tazkirah secara langsung dari Allah . Saya kongsikan agar menjadi ingatan buat sahabat-sahabat jua Inshaa Allah. Terlalu banyak yang perlu disyukuri, namun kita sering terlupa. Alhamdulillah tugas saya sebagai doktor menjadi salah satu “guru” dalam kehidupan saya.

Semoga hati kita akan sentiasa sensitif dengan peringatan-peringatan sebegini , dari Allah yang Maha Pemberi Rezeki dan Maha Mengasihani.

Anda Suka Artikel Ini? Klik Like Dan Share Ya Agar Lebih Ramai Dapat Info Yang Baik Ini. Terima kasih Di Atas Kerjasama Anda.
Scroll to Top