Stesen Bas Kuala Kangsar: Antara Tempat ‘Dating’ Dan Kisah ‘Bas Nak Roboh’

Stesen Bas Kuala Kangsar: Antara Tempat ‘Dating’ Dan Kisah ‘Bas Nak Roboh’

KUALA KANGSAR: Sanggup menaiki bas dari Lenggong ke Kuala Kangsar demi menemui kekasih hati.

Ramli Saad, 63, berkongsi cerita apabila Stesen Bas Kuala Kangsar menjadi saksi, tempat dia bertemu dengan kekasih hatinya sekitar tahun 70 an.

“Masa itu saya di Lenggong dan ‘orang rumah’ ada (tinggal) di Padang Rengas dan Stesen Bas ini lah tempat kami berjumpa, bak kata orang muda sekarang, ‘dating’”, katanya sambil disulam dengan ketawa kecil.

Ramli seorang pesara bank, yang kini menetap di Ipoh mengakui tempat itu meninggalkan banyak kenangan kepadanya.

Menurut Ramli, tapak asal stesen bas itu awalnya terletak di kawasan berhampiran dengan pasaraya The Store Kuala Kangsar.

“Setahu saya ia dibina sekitar tahun 50’an tetapi ia tidak lah besar kerana pada zaman dahulu kenderaan-kenderaan seperti bas tak banyak dan orang (pengguna) pun tak ramai. Apabila Kuala Kangsar perlahan-lahan mula menikmati beberapa pembangunan, bas mula banyak, ditambah pula dengan penambahan jumlah kereta dan motosikal di sini, jalan kecil berhadapan jalan masuk ke stesen itu mulai menjadi sesak,” kata Ramli.

Difahamkan stesen bas itu dirobohkan sekitar tahun 90’an dan ia dipindahkan ke tapak baru yang tidak jauh dari situ dan kini dikenali sebagai Terminal Bas Kuala Kangsar.

Zainal Mohd Shaari, 62 ditemui berkata sementara menunggu ketibaan bas untuk pulang ke rumah dari SMK Clifford, kacang putih dan masala vadai yang dijual seorang peniaga hanya dengan menaiki basikal di situ sentiasa menjadi kegemarannya.

Anda Suka Artikel Ini? Klik Like Dan Share Ya Agar Lebih Ramai Dapat Info Yang Baik Ini. Terima kasih Di Atas Kerjasama Anda.